Tuesday, July 24, 2012

Ya Allah, jadikanlah diriku permaisuri hatinya, penyejuk mata dan penenang hatinya



Secebis Kisah
Seorang lelaki telah berumah-tangga dengan seorang wanita solehah. Hasil dari perkahwinan ini pasangan tersebut telah dikurniakan beberapa orang anak lelaki dan perempuan, kehidupan mereka sekeluarga sungguh bahagia dan sejahtera.

Si isteri sewaktu hidupnya, adalah seoarang wanita yang beriman dan bertaqwa, berakhlak mulia dan rajin beribadah, ia juga adalah isteri yang setia dan taat kepada suaminya, seorang ibu yang penyayang dan sebaik-baik pendidik kepada anak-anak-anaknya.

Rumah tangga yang indah ini kekal selama 22 tahun, sehinggalah si isteri meninggal dunia. Setelah jenazah si isteri diuruskan dengan sempurna, disolatkan dan dikebumikan, maka semua ahli-keluarga, saudara-mara dan kaum-kerabat berhimpun di rumah si suami untuk mengucapkan ta'ziah. Kesemua yang berhimpun itu mahu mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan dan mengurangkan rasa pilu dan kesedihan si suami kerana kehilangan isteri yang paling dikasihi dan dicintai.
Namun demikian, sebelum sempat sesiapapun berkata-kata, si suami telah berkata: " semoga tidak ada sesiapapun dari kamu yang mengucapkan ta'ziah kepadaku sebaliknya dengarlah kata-kata ku ini."

Semua yang berhimpun terkejut dan terdiam dengan kata-kata si suami itu
Si suami meneruskan kata-katanya: " Demi Allah yang tiada AIlah yang berhak disembah melainkan-Nya, sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling bahagia dan gembira bagiku, lebih gembira dan bahagia dari malam pertamaku bersama isteriku itu.
Maha Suci Allah Ta'ala, sesungguhnya isteriku itu adalah sebaik-baik wanita bagiku, kerana ia sentiasa mentaatiku, menguruskan diriku dan anak-anakku dengan sebaik-baiknya dan juga ia telah mendidik anak-anakku dengan sempurna. Aku sentiasa bercita-cita untuk membalas segala jasa-baik yang dilakukannya kepada diriku. Apabila ia meninggal dunia aku teringat sebuah hadith Nabi (salla 'Llahu 'alayhi wa aalihi wa sallam);

"Mana-mana wanita yang meninggal-dunia sedang suaminya redho kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."[1]

Tatkala akan meletakkan jenazahnya di dalam lahad, aku telah meletakkan tanganku di kepalanya dan aku berkata: "Wahai Allah, Aku sesungguhnya redho kepadanya, maka redhoilah ia." Kulang-ulang kata-kataku itu, sehingga tenang dan puas hatiku..

Ketahuilah sekalian, sesungguhnya aku, di saat ini amat berbahagia dan bergembira, tidak dapat ku gambarkan kepada kalian betapa hebatnya kebahagian dan kegembiraan yang ku rasakan ini.

Maka barang siapa yang telah bercadang untuk mengucapkan ta'ziah kepada ku atas kematian isteriku itu, maka janganlah kamu melakukannya. Sebaliknya ucapkanlah tahniah kepadaku, kerana isteri telah meninggal dunia dalam keadaan aku redho kepadanya.. Semoga Allah Ta'ala menerima isteriku dengan keredhoan-Nya. "

Monday, July 23, 2012

DINDA HANYA INGIN DIBANGKITKAN SEBAGAI ISTERIMU

SAUDAH BINTI ZAM’AH R.HA.
“Dinda hanya ingin dibangkitkan sebagai isterimu…”

            Saudah binti Zam’ah, beliaulah insan yang menemani Rasulullah SAW di kamar selepas pemergian kekasih Baginda, Khadijah al-Khuwailid. Meskipun kedudukan dan ketinggian Khadijah di hati Nabi tak mampu ditandingi oleh sesiapapun, namun Saudah ternyata bertuah kerana menjadi salah seorang wanita pilihan Allah SWT untuk meneguk langsung cinta Nabi.

Beliau digambarkan seorang wanita yang tua, uzur dan gemuk ketika menjadi isteri Nabi. Namun, seunggul, sejelita dan seindah manapun wanita pada zaman ini tetap tak akan mampu menandingi walau secebis kemuliaan Saudah sebagai isteri Nabi. Bukankah jelas pernikahan Rasulullah ini kerana kepentingan agama, bukannya nafsu?!

Mari Berkenalan

Saudah binti Zam’ah bin Qais bin Abdu Syams bin Abdud berasal daripada suku Quraisy al-Amiriyah. Puteri kepada wanita bernama Syumush binti Qais bin Zaid bin Amr daripada Bani Najjar.
Pernah bersuamikan Sakran bin Amr, saudara Suhail bin Amr al-Amiri.

Golongan Paling Awal Menyahut Panggilan Fitrah

Ajaran Islam yang cocok dengan kesucian fitrah, kemuliaan akhlak dan kebersihan hati tidak teragak-agak untuk diterima oleh mereka yang memiliki kualiti hati yang istimewa. Golongan yang awal memeluk Islam dimuliakan Allah dengan gelaran as-saabiquunal awwalun. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“orang-orang yang awal (masuk Islam) di antara Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda dengan mereka dan merekapun reda kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 100).
Salah seorang daripada mereka ialah suami Saudah, Sakran bin Amr. Iman yang meresapi segenap jiwanya terasa indah. Beliau lantas memimpin isteri tercinta, Saudah binti Zam’ah untuk sama-sama hidup di bawah kemuliaan tauhid.

Menyaksikan Suami Disiksa

            Pengaruh Islam semakin tersebar di Makkah. Ajaran Muhamad semakin berkesan di hati.  Mengamuklah orang-orang kafir Quraisy. Golongan miskin dan lemah diseret dan disiksa tanpa belas kasihan.
Mengalir air mata Saudah tatkala melihat suaminya Sakran disentap, dipukul dan dibiarkan kelaparan dan kehausan. Namun begitu, imannya tidak goyah. Dia tetap teguh ingin bersama agama Muhammad SAW.
Seperit mana kesedihan Saudah, perit lagi kesedihan Rasulullah SAW tatkala melihat umat yang dicintai menerima penyiksaan sezalim itu. Ketika itu baginda dilindungi oleh pengaruh bapa saudaranya, Abu Talib dan isterinya yang bangsawan, Khadijah. Islam yang masih dalam fasa kelemahan ketika itu tidak memampukan baginda untuk bangkit membela mereka yang teraniaya.
Rasulullah SAW akhirnya menyuruh sahabat-sahabat yang teraniaya agar berpindah ke Habsyah dan minta perlindungan daripada Raja Najasyi sehinggalah Allah membebaskan mereka semua daripada penderitaan ini. Saudah dan suaminya menyahut Sarranan ini. Mereka berlindung di Habsyah dan meniti hari yang tenang di bawah naungan iman.
Setenang manapun berada di tempat orang, tetap tak seindah berada di tanah air sendiri, tanah kelahiran seorang Nabi. Begitulah yang dirasakan oleh orang-orang Islam di Habsyah. Mereka kembali ke Makkah pada saat dakwah Islam masih hebat ditentang.
Penderitaan Saudah tak tertanggung lagi apabila suaminya dipanggil pulang menemui Ilahi. Sakran meninggal dunia di Makkah. Saudah memujuk diri bahawa kasih sayang Allah lebih besar berbanding kasih sayang suami terhadapnya. Wujudkah pengganti yang lebih baik untuk menempati tempat Sakran di hati? Saudah bingung sendiri.

Dilamar Lelaki Terbaik di Dunia

Saudah masih berendam air mata kerana ditinggalkan suami. Rasulullah SAW ketika itu juga dalam kesedihan kerana ditinggalkan isteri, Khadijah al-Khuwailid. Saudah mengetahui tingginya kedudukan Khadijah buat Nabi di dunia dan di akhirat.
Setelah pemergian Khadijah, tiada sahabat yang berani mencalonkan sesiapa untuk Rasulullah kerana mereka percaya tiada wanita sebaik Khadijah yang layak menemani Nabi. Hadirlah seorang sahabat wanita bernama Khaulah binti Hakim untuk menyenangkan hati Nabi dengan berbicara soal pernikahan.
Berkata Khaulah binti Hakim bin Al-Auqash, isteri Uthman bin Mazh’un,
 “Wahai Rasulullah, tak nak kahwin lagi ke?”
Rasulullah bertanya semula,
“Dengan siapa?”
“Terpulanglah. Ada gadis dan ada janda,” jawab Khaulah.
“Jika gadis, siapa orangnya?” Tanya Rasulullah.
“Puteri orang yang paling engkau cintai, Aisyah binti Abu Bakr,” jawab Khaulah. Rasulullah teringat akan mimpi-mimpinya yang dibawa oleh Jibril tentang gadis di balik selendang sutera iaitu Aisyah. Namun, Aisyah masih lagi seorang anak kecil ketika itu. Apapun, Aisyahlah gadis pertama yang hadir dalam impian Rasulullah selepas kewafatan Khadijah kerana diilhamkan sendiri oleh Allah SWT. Tidak hairanlah cinta baginda kepada Aisyah amat menebal. Yang pertama selalunya istimewa! Apatah lagi jika yang pertama itu beragama.
“Jika janda, siapa orangnya?” Tanya Rasulullah lagi.
“Saudah binti Zam’ah. Dia telah beriman kepadamu dan mengikut ajaran agamamu,” jawab Khaulah.  Rasulullah dapat menyelami betapa deritanya Saudah dikelilingi tekanan yang menyesakkan iman dan diuji pula dengan kematian suami. Rasulullah sangat simpati kepadanya. Ada keserasian dalam bentuk ujian, masing-masing ditinggalkan pendamping tercinta.
“Kalau begitu, pergilah dan sampaikan pinanganku kepada mereka berdua,” kata Rasulullah SAW. (Al-Haitsami berkata dalam kitab Majma’uz Zawaaid, no. 15285, “Hadis ini diriwayatkan oleh At-Thabrani. Para perawinya adalah perawi kitab As-Sahih, kecuali Muhammad bin Amr bin Alqamah. Ia dinyatakan hasanul hadis.”)
Dalam riwayat Ahmad, dinyatakan bahawa Khaulah segera menemui Saudah dan ayahnya, Zam’ah. Ketika itu, Zam’ah sudah lanjut usia dan tidak dapat lagi menunaikan haji. Khaulah berkias,
“Kebaikan dan kebahagian seperti apakah ini yang telah Allah anugerahkan kepada kalian?”
Saudah berkerut kehairanan,
“Apa maksudmu?” Tanya Saudah.
Khaulah lantas menyampaikan berita gembira,
“Rasulullah SAW mengirimku untuk menemuimu dan menyampaikan lamarannya kepadamu.”
Hati Saudah berbunga-bunga lantas tumpahlah air mata keharuan. Tidak pernah terbayang baginya untuk mendapat kemuliaan sedemikian rupa. Ketika usianya sudah agak lanjut dan mempunyai susuk badan yang gemuk dan tidak menarik, masih ada yang sudi menyuntingnya. Apatah lagi lelaki itu ialah lelaki paling agung di muka bumi. Sudah tentu lelaki bernama Muhammad bin Abdullah jauh lebih mulia berbanding Sakran.
Saudah lantas menerima walaupun sedar Rasulullah melamarnya semata-mata atas dasar kasihan. Setelah menerima restu ayah, datanglah Rasulullah kepada Saudah, melangsungkan akad nikah dengan mahar berjumlah 400 dirham. (Rujuk Majma’uz Zawaid, no. 15786).

Cara Saudah Mengikat Hati Suami Terhadapnya

Saudah menjadi wanita pertama yang dinikahi oleh Rasulullah SAW setelah kewafatan Khadijah. Beliau menjadi satu-satunya isteri yang menemani hidup Nabi selama tiga tahun sebelum hadirnya Aisyah. Di saat kita pada hari ini berangan-angan ingin bermimpikan Rasulullah, Saudah dapat tidur di sisi Nabi dan berbincang-bincang dengannya. Bukankah Saudah sangat bertuah?
Meskipun Saudah sedar siapalah dirinya berbanding Khadijah namun beliau sentiasa berusaha keras menjadi isteri yang terbaik buat Nabi. Beliau menceritakan saat-saat getir menghadapi tekanan-tekanan kaum musyrikin sehingga memancing  simpati Nabi terhadapnya.
Beliau juga menceritakan hari-hari yang dilalui oleh puteri baginda Ruqayyah bersama suaminya, Utsman bin Affan selama tinggal di Habsyah. Ketika itu Ruqayyah dan Ustman masih menetap di Habsyah dan Rasulullah amat rindu kepada mereka. Saudah sedar Rasulullah amat senang mendengar berita tentang puterinya yang tersayang membuatkan Saudah rajin bercerita tentangnya.

Hijrah Kedua

Kekejaman musyrikin di Madinah memaksa orang-orang Islam berhijrah ke Madinah dengan izin Allah SWT. Setelah sebahagian besar sahabat berhijrah ke Madinah, Rasulullah menyusul hijrah mereka. Kemudian baginda mengutuskan Zaid bersama pelayannya, Abu Rafi’ untuk menjemput wanita-wanita kesayangan Nabi ikut berhijrah. Bersama dua ekor unta dan wang 500 dirham, mereka menjemput Fatimah, Ummu Kulthum, Saudah binti Zam’ah, Ummu Aiman dan Usamah bin Zaid. (At-Tabaqaat, Ibnu Saad, vol.1, hlm. 237-238).
Saudah menetap di Madinah bersama Nabi SAW. Beliau reda apabila tak lama kemudian Rasulullah membina rumah tangga dengan Aisyah r.ha.  Beliau tahu ianya kehendak Allah untuk kebaikan umat Islam sejagat. Aisyah menyukai Saudah sehingga terdapat banyak kisah menarik antara mereka berdua.

Mengutamakan Aisyah Demi Merebut Simpati Nabi

Saudah sedar, psikologi Aisyah yang masih muda sudah tentu lebih memerlukan cinta dan kasih suami. Saudah juga tahu Aisyah adalah isteri yang paling dicintai Nabi setelah Khadijah. Demi menyenangkan hati Nabi, beliau dengan setulus hati sanggup menghadiahkan hari gilirannya kepada Aisyah. Lagipun beliau sudah semakin tua dan uzur.
Rasulullah SAW pernah berniat menceraikan Saudah kerana berlaku adil amatlah payah. Perlukan kerja keras. Namun Saudah takut tidak terpilih menjadi isteri Nabi di akhirat maka beliaupun merayu,
“Biarkan dinda terus  menjadi isterimu. Demi Allah! Dinda tidak akan menuntut sebagaimana isteri-isterimu yang lain. Namun dinda ingin dibangkitkan Allah menjadi isterimu kelak di hari kiamat.”
Saudah menawarkan lagi bagi menyenangkan hati Rasulullah,
“Wahai Rasulullah, dinda hendak memberikan hari giliran dinda kepada Aisyah.”
Rasulullah lantas menerimanya.
Aisyah menyanjungi Saudah. Beliau berkata,
“Aku tidak pernah menemui seorang wanita yang lebih kusukai jika diriku menjadi sepertinya selain Saudah binti Zam’ah. Seorang wanita yang kekuatan jiwanya luar biasa.”
Malah, Aisyah begitu cemburu dengan kesegeraan Saudah dalam melakukan kebaikan dan ketaatan kepada Allah. Malah Saudah sentiasa berusaha menunjukkan ketaatannya kepada Allah dan Rasulullah. Selain itu, Saudah sangat dermawan dan murah hati.

Kenangan Terindah

Pertanyaan Saudah kepada Rasulullah SAW pada suatu hari pernah mendapat jawapan daripada tujuh petala langit. Ia berkenaan tentang isteri Rasulullah ingin keluar rumah selama ada keperluan. Hal ini meninggalkan kenangan terindah buatnya. Masakan tidak, Allah menurunkan wahyu untuk merungkaikan masalah yang sama hingga hari kiamat.
Aisyah r.a menuturkan, “Saudah binti Zam’ah pernah keluar rumah pada malam hari. Umar melihatnya dan segera mengenalnya, maka ia berkata, “Demi Allah! Kau pasti Saudah. Kami sudah mengenalmu.” Saudah merasa tidak sedap hati sehingga dia segera menemui Rasulullah SAW  yang saat itu sedang makan malam di rumahku dan tangannya sedang memegang tulang yang nyaris habis dagingnya. Tidak lama kemudian, Allah menurunkan wahyu yang membenarkan tindakan Saudah. Rasulullah SAW berkata, “Allah telah mengizinkan kalian keluar rumah selama ada keperluan.” (Muttafaqun Alaih).
Alhamdulillah, dengan keringanan ini, maka kita semua para wanita dapat keluar rumah dengan adanya keperluan seperti berkerjaya, menuntut ilmu, membeli keperluan rumah dan sebagainya.
Di akhir masa pemerintahan Umar RA, bonda kita Saudah menutup mata untuk selamanya.

RAMADHAN KAREEM!


Peluang 'Last Minute'  & 
Lailatul Qadar
Sedar tidak sedar, kita telah menamatkan separuh bulan Ramadhan, berbaki lagi 15 hari sahaja. Allah s.w.t sahaja yang mengetahui samada prestasi kita dalam 15 hari yang berlalu adalah cemerlang atau temberang. Kita juga mungkin mempunyai sedikit 'clue' tentang prestasi kita sendiri.
Semenjak dua menjak ini soalan-soalan agama yang sampai kepada saya menunjukkan minat orang kepada ilmu Islam secara agak luar biasa, mungkin kerana ia merupakan bulan Syaitan dibelenggu. Alhamdulillah. Kita mengharapkan prestasi dan minat yang sama akan berterusan setelah tamatnya Ramadhan nanti.
Tidak terkecuali juga, soalan-soalan yang menggambarkan agak keringnya umat Islam kini dari ilmu Islam. Dari bentuk soalan-soalan yang diutarakan, seseorang pasti dapat mengandaikan tahap ilmu dan kefahaman seseorang.
Saya tiada masalah dengan soalan sebegini, cuma adakalanya merasa sayu dengan pengetahuan si penanya. Jangan bimbang saya tidak kenal anda, tidak perlu merasa malu. Lebih penting adalah kesungguhan dan minat yang masih berbaki untuk pelajari, ia jauh lebih baik dari menjadi orang yang langsung tidak mengendahkan keredhaan dan ketetapan hukum yang ditentukan Islam. Tahniah.
Pendekatan Last Minute & Sujud Akhir
"Solat last minute, sujud pun nak tunggu last minute"
Sehingga timbul kefahaman yang meluas di kalangan masyarakat bahawa sujud terakhir dalam solat adalah waktu yang paling maqbul doa.
Setakat pencarian saya dalam ensaiklopedia gabungan puluh ribuan kitab Fiqh yang muktabar, Tafsir dan Hadith, tidak ada sebarang bukti dari Al-Quran atau hadith nabi atau yang menyatakan doa dalam sujud terakhir adalah yang paling maqbul.
Nabi hanya beritahu bahawa ketika sujud doa adalah maqbul, tetapi tiada dikhaskan sebagai 'Keistimewaan Sujud Terakhir' . Jika ada yang tahu, haraplah memaklumkan sumber sohihnya.
Apa yang ada adalah sabda baginda Nabi s.a.w ketika menyebut :
وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا في الدُّعَاءِ   فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ 
Ertinya : Dan adapun sujud, maka berusahalah memperbanyakkan doa kerana ia amat hampir dan boleh mendapat kemustajaban bagimu" ( Riwayat Muslim, 1/348)
Jika melihat huraian dan syarahan hadis ini oleh Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar, kita akan mengerti bahawa sujud yang maqbul itu adalah semua jenis sujud terutamanya dalam solat fardhu. Tiada sebarang pengkhususan kepada sujud akhir.
Wallahu 'alam, tiada juga dijumpai dalam kitab Fiqh yang muktabar akan cadangan sujud akhir ini. Jika benar-benar tiada, justeru ia mungkin pengaruh tabiat 'last minute' kot..sehingga terbawa-bawa dalam ibadah.
Memang benar tidak semua jenis pendekatan 'last minute' itu tidak tepat, salah, terkeji dan tidak berasas. Dalam sesetengah keadaan ia terpaksa dilakukan, tapi yang dirisaukan adalah kualitinya mungkin boleh tergugat. 
Kini, kita ada peluang kita untuk meraih ganjaran dan hasil Ramadhan semakin sampai ke minit terakhir. Bagi memastikan ramai yang berjaya, sayangnya Allah s.w.t kepada kita yang lemah ini, diberinya lagi peluang minit-minit terakhir ini dengan sesuatu yang lebih istimewa. Ia bertujuan memberikan motivasi kepada kita agar mampu menjadi insan bertaqwa serta dengan segera membina tembok iman yang kukuh sebelum keluar dari bulan mulia Ramadhan.
Peluang ibadat dalam 10 malam terakhir Ramadhan telah sedai diketahui ramai. Pengkhususan berkenaan kehebatan dan tawarannya juga bukan lagi ganjil dari minda umat Islam sedunia.


Kehebatan Malam Al-Qadr 
Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar seperti berikut :-
1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;
Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi.  (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )
2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.
Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ
Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)
Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang,  rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )
Imam Al-Qurtubi mencatatkan
Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki  (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)
Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.
Adakah kita sudah BERSEDIA untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?
Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?
Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan 'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.
Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.
Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.
Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.
Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.
Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.
3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.
Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-
وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر
Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya lailatul Qadr ( selain bulan Ramdhan)  ( At-Tabari, 30/259)
Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).
4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).
Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.
5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.
Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.
6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;
Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)
Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.nurshaira.shuhaimin@facebook.com
KU BAHAGIA MENJADI YANG HALAL BUATMU, HABIBI NIK FARHAN

SAAT LAFAZ SAKINAH KITA............
"Aku terima nikahnya Nurshaira binti Shuhaimin dengan mas kahwinnya sebanyak ... Dinar. SAH! Maka sahla dikau menjadi permaisuri hatiku, ku jua sah menjadi milikmu sayang, maka jadilah isteri yang solehah, penyejuk mata, penawar hatiku, penajam fikiranku, dikaulah isteriku, peneman hidupku, semoga dikau bahagia menjadi separuh dari diriku. semoga hubungan kita kekal hingga ke syurgaNYA.. amin Ya Allah" -------suamimu, Nik Farhan Nik Mohamed Tahir.

Sunday, July 22, 2012

Shafiyyah Binti Huyay Dipujuk Suami

 
 
Profil
·         Nama penuhnya ialah Shafiyyah binti Huyay bin Akhtab bin Sa’yah bin Amir bin Ubaid bin Kaab bin al-Khazraj bin Habib bin Nadhir bin al-Kham bin Yakhurn.
·         Daripada keturunan nabi-nabi iaitu keturunan Harun bin Imran bin Qahits bin Lawi bin Israel (Ya’qub) bin Ishaq bin Ibrahim. (Rujuk Siyar A’laam an-Nubalaa’, vol.2, hlm. 231).
·         Ibunya bernama Barrah binti Samaual daripada Yahudi Bani Quraizhah.
·         Shafiyyah dilahirkan sebelas tahun sebelum hijrah, atau dua tahun setelah masa kenabian Muhammad.
·         Pernah bersuamikan Salam bin Abi Al-Haqiq (atau Salam bin Musykam, salah seorang pemimpin Bani Quraizhah namun tidak lama.
·         Bernikah lagi dengan Kinanah bin Rabi' bin Abil Hafiq, salah seorang pemimpin Bani Quraizhah namun suaminya dibunuh oleh orang Islam selepas tertawan dalam perang Khaibar.
·         Ayahnya juga dibunuh dalam perang itu.
·         Shafiyyah ditawan lalu ditawarkan untuk menjadi isteri Nabi maka beliau menerimanya.
·         Hidupnya sering bertemankan air mata di sisi kecemburuan isteri-isteri Nabi.
·         Meninggal tatkala berumur sekitar 50 tahun, ketika masa pemerintahan Mu'awiyah.

Sekuntum Mawar Di Longkang Kedengkian
                Shafiyyah binti Huyay lahir dalam sebuah kaum yang sangat dengki terhadap Islam. Kaumnya tidak dapat menerima kenyataan bahawa Allah SWT telah memilih seseorang daripada bangsa Arab sebagai Rasul akhir zaman.
                Shafiyyah yang suka belajar sejak kecil, mengetahui dengan jelas sifat-sifat Rasul akhir zaman sebagaimana yang diterangkan oleh kitab suci mereka. Beliau ternanti-nanti kedatangannya. Apabila ada berita gembira dari Makkah tersebar ke segenap benua, beliau kabur menilai kebenarannya. Masakan tidak, bapanya sendiri sentiasa mengoborkan kebencian dan kedengkian terhadap Islam.
                Apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda tidak menunjukkan permusuhan kepada bangsa Yahudi. Baginda membuat perjanjian dengan mereka atas nama Piagam Madinah. Ada kelompok Yahudi yang menyukai Rasulullah, ada yang bersikap neutral dan ada yang menentang. Antara kelompok itu ialah Yahudi bani Qainuqa’(diampunkan), bani Nadhir (dihalau) dan bani Quraizhah (dibunuh).

Dalam Diam Mengagumi Muhammad
                Ibnu Ishaq berkata, “Aku mendapat khabar dari Abdullah bin Abu Bakar bin Muhammad bin Amr bin Hazm bahawa Shafiyyah binti Huyay bercerita…”
                Kata Shafiyyah, “Aku adalah anak kesayangan ayahku dan bapa saudaraku, Abu Yasir berbanding anak-anak yang lain. Jika mereka menemuiku, mereka pantas memelukku dan membiarkan anak-anak yang lain.”
                Beliau bercerita lagi tentang ayah dan bapa saudaranya keluar rumah sejak awal pagi untuk menyaksikan sendiri ketibaan Muhammad bin Abdullah di Quba’, di perkampungan bani Amr bin Auf. Apabila matahari terbenam, mereka berdua pulang.
                “Seperti biasa, aku menyambut mereka dengan wajah ceria. Demi Allah, mereka tidak menghiraukan dan wajah mereka sangat gelisah,” kata Shafiyyah.
                Beliau kehairanan tidak mendapat pelukan kasih mereka seperti selalu. Beliau lalu mencuri dengar perbualan mereka,
                “Kamu yakin dialah orangnya?” Bapa saudaranya bertanya.
                “Ya, demi Allah!” kata ayahnya.
                “Kamu mengenal cirri-cirinya dan dapat membuktikannya?” Tanya bapa saudaranya lagi.
                “Ya,” kata ayahnya dengan yakin.
                “Lalu, apa yang patut kita buat?”
                “Demi Allah! Aku akan memusuhinya sepanjang hidupku.” (As-Sirah an-Nabawiyah, Ibnu Hisyam.
                Terkedu Shafiyyah mendengar perbualan itu. Dirinya bingung memikirkan apa yang patut dilakukan. Tersepit antara kecintaan seorang anak dan kerinduan seorang umat kepada Nabinya.
                Beliau pernah bermimpi bulan jatuh ke kamarnya. Tatkala menceritakan mimpi itu kepada suaminya, beliau ditampar hingga lebam.
                “Kamu inginkan Raja Yathrib (Madinah) itu?” tengking suaminya.

Cekal Menghadapi Detik Ayah dan Suaminya Dibunuh
                Permusuhan Bani Quraizah semakin getir. Mereka menyiapkan 1500 pedang, 2000 batang tombak, 300 baju perang dan 500 perisai untuk memerangi kaum muslimin.
                Rasulullah SAW mengepung mereka selama 25 hari. Salah seorang musuh yang paling dkehendaki ialah Huyay bin Akhtab, ayah Shafiyyah. Dia mengkhianati muslimin dalam Perang Ahzab. Akhirnya, pihak musuh menyerah.
                Kaum muslimin menggali parit-parit besar di pasar Madinah, lalu tawanan Yahudi digiring ke tepi parit secara bergantian untuk dipancung. Itulah hukuman yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul.
                Huyay bin Akhtab, bapa Shafiyyah turut ditawan. Dia merobek seluruh bajunya sepanjang satu ruas jari agar tidak dapat dimanfaatkan oleh kaum muslimin di kemudian hari. Tatkala tangannya dilingkar ke leher dan diikat kemas, dia sempat mencemuh Rasulullah SAW,
“Demi Allah! Aku tidak pernah menyesal telah memusuhimu.”
Lalu, pedang menebas lehernya.
Nabi Muhammad segera menyedari ancaman yang akan menimpa kaum muslimin dengan berpindahnya kaum Yahudi ke Khaibar kernudian membentuk pertahanan yang kuat di sana.
Khaibar digempur. Benteng terkuat Yahudi itu hancur. Suami Shafiyyah ditawan dan dibunuh. Shafiyyah juga menjadi tawanan dan menjadi milik seorang sahabat bernama Dihyah. Rasulullah SAW menukarnya dengan tujuh tawanan wanita yang lain. Baginda menutup wajah Shafiyyah yang cantik jelita. Tahulah muslimin, baginda sudah mengambil Shafiyyah sebagai isteri.

Tabah Meskipun Hadirnya Tidak Disenangi
Dari medan Khaibar, tentera muslimin berangkat pulang ke Madinah. Shafiyyah duduk di belakang unta Rasulullah.
Ketika hampir tiba ke Madinah, unta Rasulullah terpeleset lalu baginda jatuh bersama Shafiyyah. Rasulullah SAW segera berdiri dan melindungi Shafiyyah.
Setibanya di Madinah, ramai kaum wanita bersiap sedia menyambut kepulangan mereka. Tatkala mengetahui tentang Shafiyyah, mereka berkata,
“Semoga Allah menjauhi perempuan Yahudi ini.”
Hadirnya seorang puteri Yahudi yang cantik rupawan mengundang kecemburuan para isteri Rasulullah SAW. Apatah lagi pengkhianatan demi pengkhianatan kaum Yahudi menghiris hati semua orang Islam tika itu. Lagipun, Shafiyyah itu muda remaja berusia sekitar 17 tahun.
Rasulullah SAW meraikan kecemburuan mereka sebagai suatu lumrah yang tidak dapat dielak. Baginda lalu menempatkan Shafiyyah di rumah sahabat terdekatnya, Haritsah bin Nu’man al-Anshari, bukan di rumah salah seorang isteri baginda.
Salah seorang isteri Nabi mengejek Shafiyyah,
“Kami adalah  wanita-wanita Quraisy bangsa Arab, sedangkan kamu adalah wanita asing (Yahudi).”
Shafiyyah menangis kesedihan. Beliau cuba memenangi penerimaan wanita muslimah di situ. Bermula dengan Fatimah, beliau menghadiahkansepasang anting-anting emas dan kepada wanita yang sedang bersamanya. (Riwayat Ibnu Saad).
Cemburu Hafsah
Imam Tirmizi merekodkan satu kisah lumrah bagi isteri yang bermadu. Suatu hari, Hafshah menempelak Shafiyyah,
”Hei, anak Yahudi!”
Shafiyah menangis kesedihan.
Suaminya lalu memujuk,
“Sesungguhnya dinda adalah puteri seorang Nabi dan bapa saudaramu adalah seorang Nabi, suamimu ini juga seorang Nabi, lantas dengan alasan apa dia mengejekmu?”
Kemudian Nabi Muhammad SAW mendidik Hafshah,
“Bertakwalah kepada Allah wahai Hafshah!” 

Berkrisis Dengan Zainab
Aisyah menceritakan lagi karenah kecemburuan mereka terhadap Shafiyyah. Suatu ketika, Rasulullah SAW dalam satu perjalanan. Tiba-tiba unta Shafiyyah sakit, sementara unta Zainab ada lebih seekor.
Rasulullah berkata kepada Zainab,
“Unta tunggangan Shafiyyah sakit, mahukah dinda memberikan salah satu dari untamu?”
 Zainab menjawab,
“Dinda tidak mahu memberinya kepada perempuan Yahudimu itu.”
Rasulullah SAW terkilan. Sebagai didikan, baginda meninggalkan Zainab pada bulan Dzulhijjah dan Muharam bahkan Safar juga. Baginda tidak mendatangi Zainab selama tiga bulan.
Zainab berkata, “Sehinggakan aku berputus asa dan tidak berharap lagi.”
Ketika Rasulullah SAW masuk semula ke kamarnya pada bulan Rabiul Awwal, Zainab menebus kesalahannya dengan memberikan seorang hamba wanita yang tidak pernah diketahui oleh Rasulullah SAW.

Cemuhan Aisyah dan Hafsah
Aisyah bercerita lagi,
“Suatu hari, saya melihat bayangan Rasulullah datang. Ketika itu Shafiyyah mendengar cemuhan Hafshah dan Aisyah tentang dirinya dan mengungkit-ungkit asal-usul dirinya. Betapa sedih perasannya. Lalu dia mengadu kepada Rasulullah sambil menangis. Rasulullah menghiburnya, ‘Mengapa tidak engkau katakan, bagaimana kalian berdua lebih baik dariku, suamiku Muhammad, ayahku Harun, dan bapa saudaraku Musa.”
Apabila Shafiyyah mendengar lagi ejekan dari isteri-isteri Nabi yang lain, dia rasa terbela dengan pujukan suami. Maka diapun menjawab balas,
“Bagaimana kalian merasa lebih baik dariku, padahal suamiku adalah Muhammad, ayahku adalah (keturunan) Harun dan bapa saudaraku adalah Musa?”

Iktibar Daripada Suami Sesempurna Nabi
Mujurlah Rasulullah SAW bernikah ramai dalam 10 tahun terakhir daripada baki usianya.  Baginda menunjukkan contoh kepada semua lelaki yang berpoligami agar berlaku lembut dalam menghadapi kecemburuan para isteri.  Tiada pukulan. Tiada kekasaran. Tiada ancaman keras. Yang ada hanyalah kelembutan komunikasi berkesan dan didikan dengan penuh kesabaran.
Berkat pernikahan Nabi, wanita-wanita hari ini yang dimadukan pula akan rasa terbela andai mereka tidak mampu mengawal karenah mereka lantaran cemburu. Wanita hari ini tidaklah sebaik para isteri Nabi. Kecemburuan mereka mungkin lebih dahsyat. Maka, suami yang tertekan dan berserabut dengan karenah para isteri tidak boleh sesuka hati menuduh mereka jahat, nusyuz (derhaka) dan diancam keras. Itu fitrah cinta yang perlu dididik agar tidak bertukar menjadi fitnah.
Bagi wanita yang tidak sanggup diazab hidup cemburu kerana takut agama mereka rosakpula, Islam meraikan pilihan mereka untuk mengenakan syarat ta’liq ketika akad nikah agar tidak dimadukan. (Rujuk lanjut buku Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kami Idamkan, karya Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi). Syarat ta’liq ini terpakai oleh jumhur ulama’ sejak zaman sahabat lagi. Itulah yang dicontohkan kepada kita oleh puteri-puteri Rasulullah SAW.
Bagi suami yang mahu terlepas daripada kesulitan hidup di dunia dan akhirat pula, lebih baik tidak bernikah ramai spertimana kata Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya di atas. Demikian juga pendapat jumhur ulama. Maha bijak Allah SWT yang menurunkan peraturan yang meraikan kondisi individu yang berbeza-beza serta meraikan hak dan maslahah semua pihak.

Dikasihi Suaminya
                Ketika Nabi SAW sedang beri’tikaf, Shafiyyah menemui baginda di malam hari. Beliau berbincang sejenak dengan baginda. Kemudian, Rasulullah berdiri untuk menghantar Shafiyyah kembali ke rumah.
                Tiba-tiba, dua orang Anshar lalu di situ. Ketika melihat Nabi, mereka nampak aneh. Nabi takut mereka tersalah sangka.
                “Tunggu sebentar, dia ini adalah Shafiyyah binti Huyay.” Rasulullah berkata lagi,
                “Sesungguhnya syaitan mengikuti manusia seperti aliran darah. Aku takut dia telah meletakkan satu kejahatan dalam hatimu.” (HR Muslim).

Tetap Mencintai Suami Meskipun Dicemburui
Salah satu bukti cinta Shafiyyah kepada Muhammad terdapat pada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Saad dalarn Thabaqatnya. Isteri-isteri Nabi berkumpul menjelang kewafatan baginda.
Shafiyyah berkata,
“Demi Allah, ya Nabi, dinda ingin apa yang kanda deritai ini menjadi derita dinda.”
Isteri-isteri Rasulullah memberi isyarat antara satu sama lain lantaran cemburu. Menjuih.
Melihat hal yang demikian, baginda berkata, “Berkumurlah!”
Dengan terkejut mereka bertanya,
“Dari apa?”
Baginda menjawab,
“Dari isyarat mulut (atau mata) kalian terhadapnya. Demi Allah, dia adalah benar.”
Shafiyyah rasa terbela.

Difitnah Hamba, Dibalas Kebaikan
Setelah Muhammad wafat, Shafiyyah merasa sangat terasing di tengah kaum muslimin kerana mereka selalu menganggapnya berasal dan Yahudi, tetapi dia tetap komitmen terhadap Islam dan mendukung perjuangan Muhammad.
Pernah suatu ketika hambanya mengadu kepada Saidina Umar bahawa Shafiyyah sukakan hari Sabtu dan berhubung baik dengan Yahudi. Umar lalu meminta keterangannya.
Beliau menjawab, “Aku tidak mencintai hari Sabtu lagi setelah Allah menggantikan dengan hari Jumaat. Berkenaan Yahudi, aku masih memiliki kerabat di kalangan mereka.”
Shafiyyah bertanya kepada hambanya,
“Kenapa kamu lakukan semua ini?”
“Godaan syaitan,” jawabnya. Shafiyyah lalu membebaskannya. Membalas kedengkian dengan kebaikan. Subhanallah!

Kemuliaan Hati Shafiyyah
Ketika terjadi fitnah besar atas kematian Utsman bin Affan, beliau berada di barisan Utsman. Beliau sering membentangkan kayu antara rumahnya dan rumah Uthman untuk menyalurkan makanan dan minuman. (Rujuk al-Ishaabah).
Ibnu Katsir berkata, “Shafiyyah adalah seorang wanita yang sangat menonjol dalam ibadah, kewarakan, kezuhudan, kebaikan dan sedekah.”
 Selain itu, beliau banyak meriwayatkan hadis Nabi. Beliau wafat pada masa kekhalifahan Mu’awiyah bin Abi Sufyan. Marwan bin Hakam mensolatinya, kemudian menguburkannya di Baqi’

Ramlah binti Abu Sufyan: Bernikah Dari Jauh.

Profil

·         Nama penuh beliau ialah Ramlah binti Abu Sufyan bin Harb.
·         Digelar Ummu Habibah.
·         Sepupu Nabi SAW.
·         Berhijrah ke Habsyah dan suaminya murtad di sana.
·         Dinikahkah dengan Rasulullah SAW di negara Habsyah berwakilkan Raja An-Najasyi.
·         Isteri  Rasulullah SAW yang paling banyak menerima mahar iaitu 400 dinar ditambah dengan kelengkapan-kelengkapan lain. (Siyar A’laam An-Nubalaa’, Adz-Dzahabi, vol.2, hlm. 218-219).
·         Saudara kandung kepada Khalifah Muawiyah.
·         Meninggal pada masa pemerintahan Muawiyah.

Ayahnya Hebat Menentang

                Ramlah binti Abu Sufyan atau Ummu Habibah merupakan puteri kepada seorang tokoh musyrik.  Berbangsa Quraisy.  Siapa tidak kenal Abu sufyan?
Ayahnya hebat mengerah minda siang dan malam untuk menghancurkan Islam.  Biarpun begitu, hidayah menerobos masuk ke dasar hati Ummu Habibah sejak fasa pertama  dakwah Rasul. Begitu juga hidayah menerpa suaminya.
Abu Sufyan tidak redha dengan ke-Islaman mereka. Dia berusaha sehabis daya memurtadkan kembali puteri dan menantunya. Kemarahan dan kebencian meluap-luap. Hinggakan, orang-orang Quraisy berani menindas pasangan mukmin itu dan memberi tekanan dari segala arah. Masakan tidak, ayah mereka sendiri tidak akan membela.

Membawa Diri ke Habsyah

Deraan mental dan fizikal di bumi Makkah tidak tertahan lagi. Ummu Habibah dan suaminya termasuk dalam golongan mustad’afuun (orang-orang yang lemah, tiada pembela).
Rasulullah SAW mengizinkan para sahabat berhijrah ke Habsyah. Ummu Habibah dan suaminya berada di barisan pertama.
Orang-orang musyrikin Quraisy tidak berdiam diri. Mereka berhimpun lalu memutuskan untuk menghantar dua orang delegasi hebat ke Habsyah. Tujuannya untuk menghasut Raja An-Najasyi agar menghalau muslimin yang berlindung di sana.
Di istana, dialog sengit berlaku antara delegasi musyrikin Makkah iaitu Abdullah bin Abu Rabi’ah dan Amr bin Al-Ash bin Wail, kaum muslimin di Habsyah dan Raja An-Najasyi. Hujah kaum muslimin lebih bersinar terang. Bergemerlapan cahayanya. Akhirnya, An-Najasyi mengisytiharkan ke-Islamannya secara terbuka. Ummu Habibah dan kaum muslimin yang lain hidup dalam keadaan aman damai.

Terpisah Akidah

                Disangka  panas hingga ke petang. Rupanya hujan di tengah hari. Kedamaian yang disangka berpanjangan, rupanya ada ujian berat di hadapan. Suami tercinta, Ubaidullah murtad dari Islam dan memeluk agama Nasrani.
                Ummu Habibah sedih bukan kepalang. Beliau murung berpanjangan. Kehidupan asing di negeri orang lebih menambah tekanan. Ingin kembali ke Makkah, ayahnya sudah membuang. Terpaksalah beliau bertahan di situ dalam serba keterasingan. Hanya Allah teman kesedihan.

Kebahagian Menyeruak

                Ketika hidupnya rebah di dada sepi, datanglah pembelaan dari Ilahi. Suatu hari yang cerah, seorang pelayan wanita Raja An-Najasyi telah menyampaikan pinangan Nabi. Wajah Ummu Habibah yang mendung kini berseri-seri.
                Untuk mengubat derita Ummu Habibah, pernikahan disegerakan. Raja An-Najasyi menjadi wakil daripada Rasulullah SAW untuk melafazkan akad sakinah. Semua para sahabat di Habsyah berkumpul untuk meraikan pernikahan barakah itu.
                Kemudian, si pengantin baru dikirimkan ke Makkah. Bersamanya Syurahbil bin Hasanah. Raja An-Najasyi yang baik hati itu menanggung segala bekalan perjalanan. (Rujuk lanjut Riwayat Abu Daud). Ummu Habibah lalu pulang ke Makkah mendapatkan cinta hatinya, seorang Nabi.
Berada di sisi Nabi, dengan pangkat besar, Ibu Orang-orang Beriman, keimanannya bertambah tinggi. Kelembutan sikap dan kemuliaan akhlak Rasul mengubat segala sendu.

Memuliakan Suami

                Sebelum berlakunya pembukaan Makkah, Az-Zuhri meriwayatkan bahawa Abu Sufyan datang ke Madinah untuk membincangkan perihal genjatan senjata. Rasulullah SAW menolak.
                Abu Sufyan lalu mendatangi rumah puterinya. Ketika dia hendak duduk di atas alas yang biasa diduduki oleh Rasulullah SAW, Ummu Habibah segera mengambil dan melipatnya.
                Abu Sufyan terkejut. Dia bertanya,
                “Kamu tidak suka ayah duduk di atas alas ini? Atau kamu tidak suka alas ini diduduki oleh ayah?”
                Ummu Habibah menjawab,
                “Saya tak suka alas ini diduduki oleh ayah kerana ia milik Nabi. Sedangkan ayah ini najis dan musyrik.”
                Abu Sufyan berkata perlahan,
                “Puteriku, engkau banyak berubah setelah jauh dariku.” (Rujuk al-Ishaabah, vol. 8. Hlm. 142).

Perpisahan Di Dunia

                Perginya seorang Rasul, suami dan kekasih adalah saat paling gelap dalam hidup Ummu Habibah. Akidah yang mantap mengakar membuatkan beliau tetap teguh dengan keimanan. Hari-hari yang dilalui tanpa suami dihiasi dengan banyak berpuasa dan bersolat malam.
                Ummu Habibah diberikan umur panjang sehingga pemerintahan Muawiyah, saudara kandungnya. Beliau sentiasa dihormati dan disegani oleh setiap orang lebih-lebih lagi ketika saudara kandungnya itu diangkat menjadi pemimpin besar.

Mengubat Pahit Bermadu

                Auf bin al-Harits berkata, Aisyah r.ha pernah berkata, “Menjelang wafatnya, Ummu Habibah memanggilku lalu berkata, ‘Di antara kita pernah ada beberapa hal yang biasa terjadi antara isteri-isteri yang bermadu. Aku memohon semoga Allah mengampuni segala kesalahanku dan kesalahanmu berkenaan hal itu.’”
                Aisyah membalas, “Semoga Allah mengampuni segala kesalahanmu dalam hal itu dan semoga menghalalkan semuanya.”
                Ummu Habibah berkata lagi, “Saya berasa sangat bahagia. Semoga Allah memberikanmu kebahagiaan pula.” Ummu Habibah juga memnaggil Ummu Salamah dan mengatakan hal yang sama. (Riwayat Ibnu Saad).
                Ummu Habibah meninggal dunia pada 44 Hijriah pada masa pemerintahan Muawiyah. Semoga Alah meredhainya dan beliau juga meredhai Allah.