Peluang 'Last
Minute' &
Lailatul Qadar
Sedar tidak sedar, kita telah menamatkan separuh bulan
Ramadhan, berbaki lagi 15 hari sahaja. Allah s.w.t sahaja yang mengetahui
samada prestasi kita dalam 15 hari yang berlalu adalah cemerlang atau
temberang. Kita juga mungkin mempunyai sedikit 'clue' tentang prestasi kita
sendiri.
Semenjak dua
menjak ini soalan-soalan agama yang sampai kepada saya menunjukkan minat orang
kepada ilmu Islam secara agak luar biasa, mungkin kerana ia merupakan bulan
Syaitan dibelenggu. Alhamdulillah. Kita mengharapkan prestasi dan minat yang
sama akan berterusan setelah tamatnya Ramadhan nanti.
Tidak
terkecuali juga, soalan-soalan yang menggambarkan agak keringnya umat Islam
kini dari ilmu Islam. Dari bentuk soalan-soalan yang diutarakan, seseorang
pasti dapat mengandaikan tahap ilmu dan kefahaman seseorang.
Saya tiada
masalah dengan soalan sebegini, cuma adakalanya merasa sayu dengan pengetahuan
si penanya. Jangan bimbang saya tidak kenal anda, tidak perlu merasa malu.
Lebih penting adalah kesungguhan dan minat yang masih berbaki untuk pelajari,
ia jauh lebih baik dari menjadi orang yang langsung tidak mengendahkan
keredhaan dan ketetapan hukum yang ditentukan Islam. Tahniah.
Pendekatan Last Minute & Sujud Akhir
"Solat
last minute, sujud pun nak tunggu last minute"
Sehingga timbul
kefahaman yang meluas di kalangan masyarakat bahawa sujud terakhir dalam solat
adalah waktu yang paling maqbul doa.
Setakat
pencarian saya dalam ensaiklopedia gabungan puluh ribuan kitab Fiqh yang
muktabar, Tafsir dan Hadith, tidak ada sebarang bukti dari Al-Quran atau hadith
nabi atau yang menyatakan doa dalam sujud terakhir adalah yang paling maqbul.
Nabi hanya
beritahu bahawa ketika sujud doa adalah maqbul, tetapi tiada dikhaskan sebagai
'Keistimewaan Sujud Terakhir' . Jika ada yang tahu, haraplah memaklumkan sumber
sohihnya.
Apa yang ada
adalah sabda baginda Nabi s.a.w ketika menyebut :
وَأَمَّا
السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا في الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ
أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ
Ertinya : Dan adapun sujud, maka berusahalah memperbanyakkan doa kerana ia
amat hampir dan boleh mendapat kemustajaban bagimu" ( Riwayat Muslim,
1/348)
Jika melihat
huraian dan syarahan hadis ini oleh Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar, kita akan
mengerti bahawa sujud yang maqbul itu adalah semua jenis sujud terutamanya
dalam solat fardhu. Tiada sebarang pengkhususan kepada sujud akhir.
Wallahu 'alam,
tiada juga dijumpai dalam kitab Fiqh yang muktabar akan cadangan sujud akhir
ini. Jika benar-benar tiada, justeru ia mungkin pengaruh tabiat 'last minute'
kot..sehingga terbawa-bawa dalam ibadah.
Memang benar
tidak semua jenis pendekatan 'last minute' itu tidak tepat, salah, terkeji dan
tidak berasas. Dalam sesetengah keadaan ia terpaksa dilakukan, tapi yang
dirisaukan adalah kualitinya mungkin boleh tergugat.
Kini, kita ada
peluang kita untuk meraih ganjaran dan hasil Ramadhan semakin sampai ke minit
terakhir. Bagi memastikan ramai yang berjaya, sayangnya Allah s.w.t kepada kita
yang lemah ini, diberinya lagi peluang minit-minit terakhir ini dengan sesuatu
yang lebih istimewa. Ia bertujuan memberikan motivasi kepada kita agar mampu
menjadi insan bertaqwa serta dengan segera membina tembok iman yang kukuh
sebelum keluar dari bulan mulia Ramadhan.
Peluang ibadat
dalam 10 malam terakhir Ramadhan telah sedai diketahui ramai. Pengkhususan berkenaan
kehebatan dan tawarannya juga bukan lagi ganjil dari minda umat Islam sedunia.
Kehebatan Malam Al-Qadr
Dalam tulisan
ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar
seperti berikut :-
1) Malam
berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh
Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW
secara berperingkat) ;
Justeru ia
disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan
ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid
dan ramai lagi. (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran,
Al-Qurtubi, 16/126 )
2) Di tuliskan
pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati,
gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi
mereka pada tahun itu.
Ini diambil
dari firman Allah s.w.t :-
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ
عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ
Ertinya : Pada
malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari
sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan :
4-5)
Imam At-Tabari
menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang,
rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang
berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada
tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang
dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )
Imam Al-Qurtubi
mencatatkan
Ertinya :
Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia
apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya)
atau kematian atau rezeki (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)
Demikian juga
yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir,
137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah
Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa
bermaksud mulia atau agung.
Adakah kita
sudah BERSEDIA untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?
Adakah merasa
takut untuk menunggu kehadirannya?
Saya selalu
cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya
ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan
kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana
yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan
'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.
Jika belum
merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?,
atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita
merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar
'bodoh' oleh orang lain.
Lantas, apakah
lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar
dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan
ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.
Justeru, malam
Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur
dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.
Sama-sama kita
hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin
bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.
Hanya beberapa
hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita
punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran
dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia,
hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.
3) Malam ini
terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.
Perlu difahami
bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai
takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat
semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-
وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في
ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر
Ertinya :
Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat
yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama
dengan amalan seribu bulan yang tiadanya lailatul Qadr ( selain bulan
Ramdhan) ( At-Tabari, 30/259)
Imam Malik dalam
al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan
itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek
berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh
as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133
; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).
4) Pada malam
itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).
Hal ini
disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith
disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada
seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat,
berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka
Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak,
penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.
5) Malam itu
juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.
Hinggakan
Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn
Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan
berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini
juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.
6) Diampunkan
dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan
mengharap redha Allah;
Ia berdasarkan
hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)
Hidup kita
adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi
seribu bulan.nurshaira.shuhaimin@facebook.com
No comments:
Post a Comment