Ramlah binti Abu Sufyan: Bernikah Dari Jauh.
Profil
· Nama penuh beliau ialah Ramlah binti Abu Sufyan bin Harb.
· Digelar Ummu Habibah.
· Sepupu Nabi SAW.
· Berhijrah ke Habsyah dan suaminya murtad di sana.
· Dinikahkah dengan Rasulullah SAW di negara Habsyah berwakilkan Raja An-Najasyi.
· Isteri Rasulullah SAW yang paling banyak menerima mahar iaitu 400 dinar ditambah dengan kelengkapan-kelengkapan lain. (Siyar A’laam An-Nubalaa’, Adz-Dzahabi, vol.2, hlm. 218-219).
· Saudara kandung kepada Khalifah Muawiyah.
· Meninggal pada masa pemerintahan Muawiyah.
Ayahnya Hebat Menentang
Ramlah binti Abu Sufyan atau Ummu Habibah merupakan puteri kepada seorang tokoh musyrik. Berbangsa Quraisy. Siapa tidak kenal Abu sufyan?
Ayahnya hebat mengerah minda siang dan malam untuk menghancurkan Islam. Biarpun begitu, hidayah menerobos masuk ke dasar hati Ummu Habibah sejak fasa pertama dakwah Rasul. Begitu juga hidayah menerpa suaminya.
Abu
Sufyan tidak redha dengan ke-Islaman mereka. Dia berusaha sehabis daya
memurtadkan kembali puteri dan menantunya. Kemarahan dan kebencian
meluap-luap. Hinggakan, orang-orang Quraisy berani menindas pasangan
mukmin itu dan memberi tekanan dari segala arah. Masakan tidak, ayah
mereka sendiri tidak akan membela.
Membawa Diri ke Habsyah
Deraan mental dan fizikal di bumi Makkah tidak tertahan lagi. Ummu Habibah dan suaminya termasuk dalam golongan mustad’afuun (orang-orang yang lemah, tiada pembela).
Rasulullah SAW mengizinkan para sahabat berhijrah ke Habsyah. Ummu Habibah dan suaminya berada di barisan pertama.
Orang-orang
musyrikin Quraisy tidak berdiam diri. Mereka berhimpun lalu memutuskan
untuk menghantar dua orang delegasi hebat ke Habsyah. Tujuannya untuk
menghasut Raja An-Najasyi agar menghalau muslimin yang berlindung di
sana.
Di istana,
dialog sengit berlaku antara delegasi musyrikin Makkah iaitu Abdullah
bin Abu Rabi’ah dan Amr bin Al-Ash bin Wail, kaum muslimin di Habsyah
dan Raja An-Najasyi. Hujah kaum muslimin lebih bersinar terang.
Bergemerlapan cahayanya. Akhirnya, An-Najasyi mengisytiharkan
ke-Islamannya secara terbuka. Ummu Habibah dan kaum muslimin yang lain
hidup dalam keadaan aman damai.
Terpisah Akidah
Disangka panas
hingga ke petang. Rupanya hujan di tengah hari. Kedamaian yang disangka
berpanjangan, rupanya ada ujian berat di hadapan. Suami tercinta,
Ubaidullah murtad dari Islam dan memeluk agama Nasrani.
Ummu
Habibah sedih bukan kepalang. Beliau murung berpanjangan. Kehidupan
asing di negeri orang lebih menambah tekanan. Ingin kembali ke Makkah,
ayahnya sudah membuang. Terpaksalah beliau bertahan di situ dalam serba
keterasingan. Hanya Allah teman kesedihan.
Kebahagian Menyeruak
Ketika
hidupnya rebah di dada sepi, datanglah pembelaan dari Ilahi. Suatu hari
yang cerah, seorang pelayan wanita Raja An-Najasyi telah menyampaikan
pinangan Nabi. Wajah Ummu Habibah yang mendung kini berseri-seri.
Untuk
mengubat derita Ummu Habibah, pernikahan disegerakan. Raja An-Najasyi
menjadi wakil daripada Rasulullah SAW untuk melafazkan akad sakinah.
Semua para sahabat di Habsyah berkumpul untuk meraikan pernikahan
barakah itu.
Kemudian,
si pengantin baru dikirimkan ke Makkah. Bersamanya Syurahbil bin
Hasanah. Raja An-Najasyi yang baik hati itu menanggung segala bekalan
perjalanan. (Rujuk lanjut Riwayat Abu Daud). Ummu Habibah lalu pulang ke
Makkah mendapatkan cinta hatinya, seorang Nabi.
Berada
di sisi Nabi, dengan pangkat besar, Ibu Orang-orang Beriman,
keimanannya bertambah tinggi. Kelembutan sikap dan kemuliaan akhlak
Rasul mengubat segala sendu.
Memuliakan Suami
Sebelum berlakunya pembukaan Makkah, Az-Zuhri meriwayatkan bahawa Abu Sufyan datang ke Madinah untuk membincangkan perihal genjatan senjata. Rasulullah SAW menolak.
Abu
Sufyan lalu mendatangi rumah puterinya. Ketika dia hendak duduk di atas
alas yang biasa diduduki oleh Rasulullah SAW, Ummu Habibah segera
mengambil dan melipatnya.
Abu Sufyan terkejut. Dia bertanya,
“Kamu tidak suka ayah duduk di atas alas ini? Atau kamu tidak suka alas ini diduduki oleh ayah?”
Ummu Habibah menjawab,
“Saya tak suka alas ini diduduki oleh ayah kerana ia milik Nabi. Sedangkan ayah ini najis dan musyrik.”
Abu Sufyan berkata perlahan,
“Puteriku, engkau banyak berubah setelah jauh dariku.” (Rujuk al-Ishaabah, vol. 8. Hlm. 142).
Perpisahan Di Dunia
Perginya
seorang Rasul, suami dan kekasih adalah saat paling gelap dalam hidup
Ummu Habibah. Akidah yang mantap mengakar membuatkan beliau tetap teguh
dengan keimanan. Hari-hari yang dilalui tanpa suami dihiasi dengan
banyak berpuasa dan bersolat malam.
Ummu
Habibah diberikan umur panjang sehingga pemerintahan Muawiyah, saudara
kandungnya. Beliau sentiasa dihormati dan disegani oleh setiap orang
lebih-lebih lagi ketika saudara kandungnya itu diangkat menjadi pemimpin
besar.
Mengubat Pahit Bermadu
Auf
bin al-Harits berkata, Aisyah r.ha pernah berkata, “Menjelang wafatnya,
Ummu Habibah memanggilku lalu berkata, ‘Di antara kita pernah ada
beberapa hal yang biasa terjadi antara isteri-isteri yang bermadu. Aku
memohon semoga Allah mengampuni segala kesalahanku dan kesalahanmu
berkenaan hal itu.’”
Aisyah membalas, “Semoga Allah mengampuni segala kesalahanmu dalam hal itu dan semoga menghalalkan semuanya.”
Ummu
Habibah berkata lagi, “Saya berasa sangat bahagia. Semoga Allah
memberikanmu kebahagiaan pula.” Ummu Habibah juga memnaggil Ummu Salamah
dan mengatakan hal yang sama. (Riwayat Ibnu Saad).
Ummu
Habibah meninggal dunia pada 44 Hijriah pada masa pemerintahan
Muawiyah. Semoga Alah meredhainya dan beliau juga meredhai Allah.
No comments:
Post a Comment