Hari Raya
Idilfitri : Yang Perlu &
Yang Jangan
DiLakukan
Bulan Ramadhan,
sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar serta menghayati ‘tawaran'
bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan, mereka
sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.
Sebaliknya
orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti
bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini. Lebih malang
lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya
bertentangan dengan ruh dan objektif Ramdhan.
Seolah-olah
individu yang berpesta maksiat di permulaan bulan Syawal ini ingin memaklumkan
berkenaan ‘peperiksaan' Ramadhannya telah mendapat keputusan ‘gagal', malah
telah berjaya terkena doa laknat oleh Malaikat Jibrail untuk mendapat
'kecelakaan', merbahayalah imannya pada bulan-bulan yang mendatang.
Nau'zubillah.
Masalah pasti
berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini tidak
mempunyai ilmu bagi mengenal pasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh,
dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung untuk mengetahuinya.
Padahal di
bulan Ramadhan yang juga digelar bulan Al-Quran, Allah SWT mengarahkan kita
merujuk Al-Quran yang fungsinya adalah sebagai Al-Furqan (Pemisah antara yang
benar dan yang salah).
Malang bagi
mereka yang masih tidak mahu bernaung dengan petunjuk Al-Quran dan Al-Hadis
dalam kehidupan hariannya sejurus selepas Ramadhan ini.
Sebagaimana
kata-kata hukama :-
الْقُرْآَنُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ فَمَنْ جَعَلَهُ إِمَامَهُ قَادَهُ إلى
الْجَنَّةِ وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ إلى النَّارِ
Ertinya :
"Al-quran itu boleh memberi syafaat, barangsiapa yang mengambilnya sebagai
pemandu (kehidupannya) nescaya ia akan membawa ke Syurga dan barangsiapa yang
meletakkannya di belakangnya, nescaya ia akan mengheret orang itu ke
Neraka" ( Riwayat At-Tabrani, Ibn Hibban, 1/331 ; Ia sukar untuk dianggap
sebagai hadis kerana perawinya Al-Rabi' bin Badr yang dinilai Matruk ; Majma
Az-Zawaid, 7/164)
BOLEHKAH
BERSUKARIA DI MUSIM RAYA?
Jawapannya,
bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan
umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah
dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.
Nabi SAW juga
pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi
Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah
Rasulullah SAW dengan katanya :
دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد
Ertinya :
"Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat
Al-Bukhari)
Mukmin sebenar
akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan
kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.
Sudah tentu
mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah
terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :
من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ
Ertinya
"Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa
buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat
At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya
sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )
Selain
mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira
juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, bukankah Nabi
SAW telah menyebut bahawa "Puasa itu benteng" (Riwayat Al-Bukhari).
MENGAPA ORANG
MUKMIN TULEN BERSEDIH?
Secara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang
sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang
pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :-
1) Peluang
untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang
menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di
belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri
dan amalannya.
2) Tawaran
pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan
solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat
jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.
3) Kemaqbulan
doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah
yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.
4) Peluang
mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan
akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.
5) Peluang
terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. (Rujuk artikel lepas)
Hasil dari
sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan
pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu
lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.
TAMATNYA SIRI
YANG DIMINATI
Rancangan yang
tidak pasti akan ada ulangannya atau tidak ini, sudah anda ikuti siri-sirinya
sejak sekian lama, tiba-tiba dengan sebab jem yang teruk di jalanan, anda
terlepas dari menyaksikannya. Anda juga tidak pasti bagaimana atau samada anda
boleh mendapatkan rancangan ulangannya. Demikian juga anda pasti merasakan
sedih kerana rancangan kegemaran anda sudah hampir berakhir. Sedangkan anda
masih belum puas menontonnya dan menikmatinya.
Sebagaimana
perasaan hiba dua ibubapa yang ingin berpisah dengan anak kesayangannya setelah
selesai musim cuti hariraya.
Demikianlah
para mukmin soleh dengan Ramadhan, tamatnya siri hebat ramadhan ini amat
memilukan bagi mereka yang hatinya bersinar dengan cahaya iman.
RINGKASAN
AMALAN DI HARI RAYA
Di hari mulia Syawal
ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri
.
Ulama besar
Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu
antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".
2) Menjamah
makanan sebelum keluar.
Ia berdasarkan
hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut :
"Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW
menjamah beberapa biji kurma..."
3)
Memperbanyakkan Takbir dan bukan
memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;
Seharusnya umat
Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga
meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain
kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa
apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan
bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.
4) Mengucapkan
selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;
Tiada masalah
untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama.
Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah
"Taqabbalallahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima
amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".
Disebut dalam
sebuah riwayat :
قال واثلة
لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك
Ertinya :
Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku
katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab
: Ya, taqabbalallahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di
Fath Al-Bari, 2/446 )
5) Memakai pakaian terbaik yang
ada ;
Walaupun
demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak
dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal
(kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam
Islam).
6) Menukar
jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;
Ia berdasarkan
hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau
berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)
7) Berziarah
dan merapatkan hubungan baik (ukhuwwah) sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.
Nabi pernah
bersabda :
مَن سَرّه أن يُبسط له في رزقه ، وأن يُنسأ له في أثره ؛
فَلْيَصِل رَحِمَه
Ertinya :
Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan
(dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan
persaudaraannya ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
RINGKASAN
KESILAPAN DI HARI RAYA
Dalam pada masa
yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap
di musim perayaan :-
1) Sentuhan
; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah
rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam
bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.
2) Aurat
& Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain
ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat
di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara
terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau
adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.
3) Wangian
Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim
perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan
mahram.
4) Pakaian
Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya
lalu bertandang ke khalayak ramai.
5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur
orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan
jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai
oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni
Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)
6) Meninggalkan
solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.
7) Dosa
Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di
bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung
selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan,
maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat
berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh
berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang
baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.
Terlalu banyak
lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan.
Semoga ada manfaat.
Selamat Hari Raya Idil Fitri Maaf Zahir & Batin.
*sampaikan salam kami kepada seluruh
ahli kelurga, maafkan kami andai ada salah dan silap, semoga Ramadhan ini
yang terbaik dari kita semua. May Allah Bless all of us. Ameen.
|
Tulus ikhlas dari kami :
Nik Farhan bin Nik Mohamed Tahir & Nurshaira Shuhaimin