
Profil
· Nama
penuhnya ialah Shafiyyah binti Huyay bin Akhtab bin Sa’yah bin Amir bin
Ubaid bin Kaab bin al-Khazraj bin Habib bin Nadhir bin al-Kham bin
Yakhurn.
· Daripada keturunan nabi-nabi iaitu keturunan Harun bin Imran bin Qahits bin Lawi bin Israel (Ya’qub) bin Ishaq bin Ibrahim. (Rujuk Siyar A’laam an-Nubalaa’, vol.2, hlm. 231).
· Ibunya bernama Barrah binti Samaual daripada Yahudi Bani Quraizhah.
· Shafiyyah dilahirkan sebelas tahun sebelum hijrah, atau dua tahun setelah masa kenabian Muhammad.
· Pernah bersuamikan Salam bin Abi Al-Haqiq (atau Salam bin Musykam, salah seorang pemimpin Bani Quraizhah namun tidak lama.
· Bernikah
lagi dengan Kinanah bin Rabi' bin Abil Hafiq, salah seorang pemimpin
Bani Quraizhah namun suaminya dibunuh oleh orang Islam selepas tertawan
dalam perang Khaibar.
· Ayahnya juga dibunuh dalam perang itu.
· Shafiyyah ditawan lalu ditawarkan untuk menjadi isteri Nabi maka beliau menerimanya.
· Hidupnya sering bertemankan air mata di sisi kecemburuan isteri-isteri Nabi.
· Meninggal tatkala berumur sekitar 50 tahun, ketika masa pemerintahan Mu'awiyah.
Sekuntum Mawar Di Longkang Kedengkian
Shafiyyah
binti Huyay lahir dalam sebuah kaum yang sangat dengki terhadap Islam.
Kaumnya tidak dapat menerima kenyataan bahawa Allah SWT telah memilih
seseorang daripada bangsa Arab sebagai Rasul akhir zaman.
Shafiyyah
yang suka belajar sejak kecil, mengetahui dengan jelas sifat-sifat
Rasul akhir zaman sebagaimana yang diterangkan oleh kitab suci mereka.
Beliau ternanti-nanti kedatangannya. Apabila ada berita gembira dari
Makkah tersebar ke segenap benua, beliau kabur menilai kebenarannya.
Masakan tidak, bapanya sendiri sentiasa mengoborkan kebencian dan
kedengkian terhadap Islam.
Apabila
Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda tidak menunjukkan
permusuhan kepada bangsa Yahudi. Baginda membuat perjanjian dengan
mereka atas nama Piagam Madinah. Ada kelompok Yahudi yang menyukai
Rasulullah, ada yang bersikap neutral dan ada yang menentang. Antara
kelompok itu ialah Yahudi bani Qainuqa’(diampunkan), bani Nadhir
(dihalau) dan bani Quraizhah (dibunuh).
Dalam Diam Mengagumi Muhammad
Ibnu
Ishaq berkata, “Aku mendapat khabar dari Abdullah bin Abu Bakar bin
Muhammad bin Amr bin Hazm bahawa Shafiyyah binti Huyay bercerita…”
Kata
Shafiyyah, “Aku adalah anak kesayangan ayahku dan bapa saudaraku, Abu
Yasir berbanding anak-anak yang lain. Jika mereka menemuiku, mereka
pantas memelukku dan membiarkan anak-anak yang lain.”
Beliau
bercerita lagi tentang ayah dan bapa saudaranya keluar rumah sejak awal
pagi untuk menyaksikan sendiri ketibaan Muhammad bin Abdullah di Quba’,
di perkampungan bani Amr bin Auf. Apabila matahari terbenam, mereka
berdua pulang.
“Seperti
biasa, aku menyambut mereka dengan wajah ceria. Demi Allah, mereka
tidak menghiraukan dan wajah mereka sangat gelisah,” kata Shafiyyah.
Beliau kehairanan tidak mendapat pelukan kasih mereka seperti selalu. Beliau lalu mencuri dengar perbualan mereka,
“Kamu yakin dialah orangnya?” Bapa saudaranya bertanya.
“Ya, demi Allah!” kata ayahnya.
“Kamu mengenal cirri-cirinya dan dapat membuktikannya?” Tanya bapa saudaranya lagi.
“Ya,” kata ayahnya dengan yakin.
“Lalu, apa yang patut kita buat?”
“Demi Allah! Aku akan memusuhinya sepanjang hidupku.” (As-Sirah an-Nabawiyah, Ibnu Hisyam.
Terkedu
Shafiyyah mendengar perbualan itu. Dirinya bingung memikirkan apa yang
patut dilakukan. Tersepit antara kecintaan seorang anak dan kerinduan
seorang umat kepada Nabinya.
Beliau pernah bermimpi bulan jatuh ke kamarnya. Tatkala menceritakan mimpi itu kepada suaminya, beliau ditampar hingga lebam.
“Kamu inginkan Raja Yathrib (Madinah) itu?” tengking suaminya.
Cekal Menghadapi Detik Ayah dan Suaminya Dibunuh
Permusuhan
Bani Quraizah semakin getir. Mereka menyiapkan 1500 pedang, 2000 batang
tombak, 300 baju perang dan 500 perisai untuk memerangi kaum muslimin.
Rasulullah
SAW mengepung mereka selama 25 hari. Salah seorang musuh yang paling
dkehendaki ialah Huyay bin Akhtab, ayah Shafiyyah. Dia mengkhianati
muslimin dalam Perang Ahzab. Akhirnya, pihak musuh menyerah.
Kaum
muslimin menggali parit-parit besar di pasar Madinah, lalu tawanan
Yahudi digiring ke tepi parit secara bergantian untuk dipancung. Itulah
hukuman yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul.
Huyay
bin Akhtab, bapa Shafiyyah turut ditawan. Dia merobek seluruh bajunya
sepanjang satu ruas jari agar tidak dapat dimanfaatkan oleh kaum
muslimin di kemudian hari. Tatkala tangannya dilingkar ke leher dan
diikat kemas, dia sempat mencemuh Rasulullah SAW,
“Demi Allah! Aku tidak pernah menyesal telah memusuhimu.”
Lalu, pedang menebas lehernya.
Nabi
Muhammad segera menyedari ancaman yang akan menimpa kaum muslimin
dengan berpindahnya kaum Yahudi ke Khaibar kernudian membentuk
pertahanan yang kuat di sana.
Khaibar
digempur. Benteng terkuat Yahudi itu hancur. Suami Shafiyyah ditawan
dan dibunuh. Shafiyyah juga menjadi tawanan dan menjadi milik seorang
sahabat bernama Dihyah. Rasulullah SAW menukarnya dengan tujuh tawanan
wanita yang lain. Baginda menutup wajah Shafiyyah yang cantik jelita.
Tahulah muslimin, baginda sudah mengambil Shafiyyah sebagai isteri.
Tabah Meskipun Hadirnya Tidak Disenangi
Dari medan Khaibar, tentera muslimin berangkat pulang ke Madinah. Shafiyyah duduk di belakang unta Rasulullah.
Ketika
hampir tiba ke Madinah, unta Rasulullah terpeleset lalu baginda jatuh
bersama Shafiyyah. Rasulullah SAW segera berdiri dan melindungi
Shafiyyah.
Setibanya
di Madinah, ramai kaum wanita bersiap sedia menyambut kepulangan
mereka. Tatkala mengetahui tentang Shafiyyah, mereka berkata,
“Semoga Allah menjauhi perempuan Yahudi ini.”
Hadirnya
seorang puteri Yahudi yang cantik rupawan mengundang kecemburuan para
isteri Rasulullah SAW. Apatah lagi pengkhianatan demi pengkhianatan kaum
Yahudi menghiris hati semua orang Islam tika itu. Lagipun, Shafiyyah
itu muda remaja berusia sekitar 17 tahun.
Rasulullah
SAW meraikan kecemburuan mereka sebagai suatu lumrah yang tidak dapat
dielak. Baginda lalu menempatkan Shafiyyah di rumah sahabat terdekatnya,
Haritsah bin Nu’man al-Anshari, bukan di rumah salah seorang isteri
baginda.
Salah seorang isteri Nabi mengejek Shafiyyah,
“Kami adalah wanita-wanita Quraisy bangsa Arab, sedangkan kamu adalah wanita asing (Yahudi).”
Shafiyyah
menangis kesedihan. Beliau cuba memenangi penerimaan wanita muslimah di
situ. Bermula dengan Fatimah, beliau menghadiahkansepasang
anting-anting emas dan kepada wanita yang sedang bersamanya. (Riwayat
Ibnu Saad).
Cemburu Hafsah
Imam Tirmizi merekodkan satu kisah lumrah bagi isteri yang bermadu. Suatu hari, Hafshah menempelak Shafiyyah,
”Hei, anak Yahudi!”
Shafiyah menangis kesedihan.
Suaminya lalu memujuk,
“Sesungguhnya
dinda adalah puteri seorang Nabi dan bapa saudaramu adalah seorang
Nabi, suamimu ini juga seorang Nabi, lantas dengan alasan apa dia
mengejekmu?”
Kemudian Nabi Muhammad SAW mendidik Hafshah,
“Bertakwalah kepada Allah wahai Hafshah!”
Berkrisis Dengan Zainab
Aisyah
menceritakan lagi karenah kecemburuan mereka terhadap Shafiyyah. Suatu
ketika, Rasulullah SAW dalam satu perjalanan. Tiba-tiba unta Shafiyyah
sakit, sementara unta Zainab ada lebih seekor.
Rasulullah berkata kepada Zainab,
“Unta tunggangan Shafiyyah sakit, mahukah dinda memberikan salah satu dari untamu?”
Zainab menjawab,
“Dinda tidak mahu memberinya kepada perempuan Yahudimu itu.”
Rasulullah
SAW terkilan. Sebagai didikan, baginda meninggalkan Zainab pada bulan
Dzulhijjah dan Muharam bahkan Safar juga. Baginda tidak mendatangi
Zainab selama tiga bulan.
Zainab berkata, “Sehinggakan aku berputus asa dan tidak berharap lagi.”
Ketika
Rasulullah SAW masuk semula ke kamarnya pada bulan Rabiul Awwal, Zainab
menebus kesalahannya dengan memberikan seorang hamba wanita yang tidak
pernah diketahui oleh Rasulullah SAW.
Cemuhan Aisyah dan Hafsah
Aisyah bercerita lagi,
“Suatu
hari, saya melihat bayangan Rasulullah datang. Ketika itu Shafiyyah
mendengar cemuhan Hafshah dan Aisyah tentang dirinya dan
mengungkit-ungkit asal-usul dirinya. Betapa sedih perasannya. Lalu dia
mengadu kepada Rasulullah sambil menangis. Rasulullah menghiburnya,
‘Mengapa tidak engkau katakan, bagaimana kalian berdua lebih baik
dariku, suamiku Muhammad, ayahku Harun, dan bapa saudaraku Musa.”
Apabila
Shafiyyah mendengar lagi ejekan dari isteri-isteri Nabi yang lain, dia
rasa terbela dengan pujukan suami. Maka diapun menjawab balas,
“Bagaimana kalian merasa lebih baik dariku, padahal suamiku adalah Muhammad, ayahku adalah (keturunan) Harun dan bapa saudaraku adalah Musa?”
Iktibar Daripada Suami Sesempurna Nabi
Mujurlah Rasulullah SAW bernikah ramai dalam 10 tahun terakhir daripada baki usianya. Baginda menunjukkan contoh kepada semua lelaki yang berpoligami agar berlaku lembut dalam menghadapi kecemburuan para isteri. Tiada
pukulan. Tiada kekasaran. Tiada ancaman keras. Yang ada hanyalah
kelembutan komunikasi berkesan dan didikan dengan penuh kesabaran.
Berkat
pernikahan Nabi, wanita-wanita hari ini yang dimadukan pula akan rasa
terbela andai mereka tidak mampu mengawal karenah mereka lantaran
cemburu. Wanita hari ini tidaklah sebaik para isteri Nabi. Kecemburuan
mereka mungkin lebih dahsyat. Maka, suami yang tertekan dan berserabut
dengan karenah para isteri tidak boleh sesuka hati menuduh mereka jahat,
nusyuz (derhaka) dan diancam keras. Itu fitrah cinta yang perlu dididik agar tidak bertukar menjadi fitnah.
Bagi
wanita yang tidak sanggup diazab hidup cemburu kerana takut agama
mereka rosakpula, Islam meraikan pilihan mereka untuk mengenakan syarat
ta’liq ketika akad nikah agar tidak dimadukan. (Rujuk lanjut buku
Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kami Idamkan, karya Prof. Syeikh
Dr. Yusuf al-Qaradhawi). Syarat ta’liq ini terpakai oleh jumhur ulama’
sejak zaman sahabat lagi. Itulah yang dicontohkan kepada kita oleh
puteri-puteri Rasulullah SAW.
Bagi
suami yang mahu terlepas daripada kesulitan hidup di dunia dan akhirat
pula, lebih baik tidak bernikah ramai spertimana kata Syeikh Yusuf
al-Qaradhawi dalam bukunya di atas. Demikian juga pendapat jumhur ulama.
Maha bijak Allah SWT yang menurunkan peraturan yang meraikan kondisi
individu yang berbeza-beza serta meraikan hak dan maslahah semua pihak.
Dikasihi Suaminya
Ketika
Nabi SAW sedang beri’tikaf, Shafiyyah menemui baginda di malam hari.
Beliau berbincang sejenak dengan baginda. Kemudian, Rasulullah berdiri
untuk menghantar Shafiyyah kembali ke rumah.
Tiba-tiba, dua orang Anshar lalu di situ. Ketika melihat Nabi, mereka nampak aneh. Nabi takut mereka tersalah sangka.
“Tunggu sebentar, dia ini adalah Shafiyyah binti Huyay.” Rasulullah berkata lagi,
“Sesungguhnya
syaitan mengikuti manusia seperti aliran darah. Aku takut dia telah
meletakkan satu kejahatan dalam hatimu.” (HR Muslim).
Tetap Mencintai Suami Meskipun Dicemburui
Salah
satu bukti cinta Shafiyyah kepada Muhammad terdapat pada hadis yang
diriwayatkan oleh Ibnu Saad dalarn Thabaqatnya. Isteri-isteri Nabi
berkumpul menjelang kewafatan baginda.
Shafiyyah berkata,
“Demi Allah, ya Nabi, dinda ingin apa yang kanda deritai ini menjadi derita dinda.”
Isteri-isteri Rasulullah memberi isyarat antara satu sama lain lantaran cemburu. Menjuih.
Melihat hal yang demikian, baginda berkata, “Berkumurlah!”
Dengan terkejut mereka bertanya,
“Dari apa?”
Baginda menjawab,
“Dari isyarat mulut (atau mata) kalian terhadapnya. Demi Allah, dia adalah benar.”
Shafiyyah rasa terbela.
Setelah Muhammad wafat, Shafiyyah
merasa sangat terasing di tengah kaum muslimin kerana mereka selalu
menganggapnya berasal dan Yahudi, tetapi dia tetap komitmen terhadap
Islam dan mendukung perjuangan Muhammad.
Pernah
suatu ketika hambanya mengadu kepada Saidina Umar bahawa Shafiyyah
sukakan hari Sabtu dan berhubung baik dengan Yahudi. Umar lalu meminta
keterangannya.
Beliau menjawab,
“Aku tidak mencintai hari Sabtu lagi setelah Allah menggantikan dengan
hari Jumaat. Berkenaan Yahudi, aku masih memiliki kerabat di kalangan
mereka.”
Shafiyyah bertanya kepada hambanya,
“Kenapa kamu lakukan semua ini?”
“Godaan syaitan,” jawabnya. Shafiyyah lalu membebaskannya. Membalas kedengkian dengan kebaikan. Subhanallah!
Kemuliaan Hati Shafiyyah
Ketika
terjadi fitnah besar atas kematian Utsman bin Affan, beliau berada di
barisan Utsman. Beliau sering membentangkan kayu antara rumahnya dan
rumah Uthman untuk menyalurkan makanan dan minuman. (Rujuk al-Ishaabah).
Ibnu
Katsir berkata, “Shafiyyah adalah seorang wanita yang sangat menonjol
dalam ibadah, kewarakan, kezuhudan, kebaikan dan sedekah.”
Selain
itu, beliau banyak meriwayatkan hadis Nabi. Beliau wafat pada masa
kekhalifahan Mu’awiyah bin Abi Sufyan. Marwan bin Hakam mensolatinya,
kemudian menguburkannya di Baqi’
No comments:
Post a Comment